Home > politik > Najib: Banjir terburuk di Johor sudah berlalu

Najib: Banjir terburuk di Johor sudah berlalu

LABIS, 1 Feb — Sehari selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Johor.

Perdana Menteri yang tiba di Labis tengah hari ini berkata, berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah berlalu.

“Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan.

“Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempat di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan dengan seramai 40,443 mangsa daripada 9,809 keluarga berada di 244 pusat pemindahan sehingga pukul 2 petang tadi.

Pagi tadi, lebih 45,000 mangsa daripada 11,104 keluarga berada di 267 pusat pemindahan.

Menurut laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor http://www.johordt.gov.my, daerah Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 19,489 orang membabitkan 4,689 keluarga, diikuti Kluang dengan 7,680 orang daripada 2,044 keluarga.

Portal itu melaporkan seramai 95 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan di Johor Baru, 2,374 orang (541 keluarga) di Muar, 2,757 orang (620 keluarga) di Batu Pahat dan 600 orang daripada 139 keluarga di Pontian.

Kota Tinggi pula mencatatkan 1,781 mangsa melibatkan 412 keluarga, Mersing (99 orang daripada 31 keluarga), Ledang (5,305 orang daripada 1,224 keluarga) dan Kulaijaya merekodkan 263 mangsa daripada 84 keluarga.

Menurut laporan portal itu, daripada 244 pusat pemindahan, 89 adalah di Segamat, Kluang (39), Johor Baharu (3), Muar (22), Batu Pahat (28), Pontian (10), Kota Tinggi (19), Mersing (1), Ledang (29) dan Kulaijaya (4).

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

Sementara itu, jalan yang masih ditutup di Segamat membabitkan Batu 8 di Jalan Muar-Segamat, jambatan Sungai Penarah di KM 63 Jalan Muar-Segamat, KM 196 Jalan Johor Baharu-Seremban (Batu 8, Sungai Merlimau) dan jalan masuk ke Felda

Redong akibat jambatan runtuh.

Jalan yang ditutup di Kluang membabitkan KM 79 hingga KM 81 Jalan Kluang-Mersing dan KM 75 Jalan Kluang-Jemaluang.

Menurut Perdana Menteri, bencana banjir yang melanda Johor disebabkan fenomena cuaca yang luar biasa di mana jumlah hujan yang diterima negeri itu dalam sehari bersamaan dengan jumlah diterimanya dalam dua bulan.

“Ia adalah suatu fenomena cuaca yang luar biasa, di mana jumlah hujan yang turun itu tidak dapat diduga,” katanya sambil menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan oleh faktor pemanasan iklim dunia.

Ditanya mengenai persediaan di dalam menangani bencana banjir di Johor, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya tindakan pantas operasi membantu mangsa banjir di Johor itu merupakan hasil kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan pusat.

Usaha membantu mangsa-mangsa banjir itu termasuk, memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selimut, tikar serta bekalan perubatan dan rawatan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Hasil tinjauannya di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, Najib berkata, mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan menikmati makanan segar seperti ikan, ayam dan daging.

Mengenai bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Johor, beliau berkata, ia akan diberikan kepada mangsa selepas ini bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan kadar wang ehsan itu mengikut formula yang telah ditentukan. Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Categories: politik
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: