Home > Uncategorized > PKR Sabah makin bergolak, ramai ikut jejak Jeffrey

PKR Sabah makin bergolak, ramai ikut jejak Jeffrey

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus bergolak apabila semakin ramai ahlinya bertindak mengikut langkah bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meninggalkan parti itu.

Hari ini seramai 27 ahli termasuk pemimpin PKR dari seluruh negeri bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Bersatu Borneo (UBF) yang disaksikan oleh Jeffrey.

UBF ditubuhkan pada 16 Disember lalu oleh Jeffrey sebagai satu platform bagi membolehkannya memperjuangkan hak serta keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Antara pemimpin yang bertindak keluar parti hari ini ialah Pengerusi Pasukan Petugas Kadazandusunmurut PKR Sabah, Daniel John Jambun; bekas Ketua Cabang PKR Putatan, Awang Ahmad Shah Awang Sahari; Timbalan Ketua Cabang Kota Belud, Rubbin Guribah dan Timbalan Ketua Cabang Keningau, Melvin Jaikol.

Turut bertindak keluar parti ialah Ketua Pemuda PKR Keningau, Dr. Nicholas Guntobon; Ketua Pemuda PKR Kota Marudu, Dr.Jurin Gunsalam; Setiausaha PKR Kinabatangan, Jalibin Paidi dan Ketua Penerangan PKR Kinabatangan, Yusof Parantis.

Menurut Jeffrey, penyertaan ahli PKR di dalam UBF merupakan satu langkah bijak yang dibuat dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Katanya, beliau menjangkakan lebih ramai ahli parti itu akan bertindak keluar parti pada masa akan datang.

“Sebenarnya ada lagi termasuk lima hingga enam Ketua Cabang PKR yang menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan akan membuat sidang media sendiri.

“Jadi saya tidak mahu sebut lain-lain dulu kerana mereka perlu menghabiskan beberapa tugas di sana,” katanya.

Dalam pada itu Daniel berkata, tindakannya bersama ahli Petugas Kadazandusunmurut PKR Sabah itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, tindakan pemimpin PKR di negeri ini yang sering bertelagah sesama sendiri juga menyebabkan parti itu semakin hilang kepercayaan di kalangan akar umbi.

Beliau memberitahu, meskipun hanya 27 ahli PKR bertindak keluar parti hari ini, setiap pemimpin PKR berkenaan mempunyai ramai pengikut yang akan turut berbuat demikian.

Dalam pada itu Awang Ahmad Shah berkata, beberapa Ketua Cabang PKR akan mengumumkan keluar parti pada 17 Januari ini.

“Saya tidak boleh sebut siapa tetapi kita sudah membuat keputusan akan mengumumkannya pada 17 Januari ini,” katanya.

Sementara itu Melvin berkata, kira-kira 80 peratus ahli PKR Keningau dijangka mengikut jejaknya meninggalkan parti itu dan menyertai UBF

Categories: Uncategorized Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: