Home > politik > Jeffrey sah keluar PKR

Jeffrey sah keluar PKR

KOTA KINABALU 3 Jan. – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengesahkan keluar dari parti tersebut dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan, di sini hari ini, Jeffrey menegaskan, walaupun beliau berhasrat untuk mengumumkan pengunduran berkenaan pada Khamis ini namun ia terpaksa dipercepatkan berikutan pelbagai khabar angin oleh pihak tertentu yang memburuk-burukkan dirinya.

“Pada mulanya saya hanya ingin membuat pengumuman pengunduran daripada PKR selepas semua orang seronok menyambut perayaan Tahun Baru. Bagaimanapun, tindakan penyebar khabar angin tersebut telah melangkaui batasan.

“Kumpulan tersebut langsung tidak memberi peluang kepada saya dan keluarga menikmati sepenuhnya sambutan Tahun Baru bersama rakan dengan sebaik-baiknya. Ia satu yang mengecewakan dan dilakukan tanpa adab,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dilakukan, bagaimanapun perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sejak menceburi kerjaya politik, beliau telah menyertai banyak parti dan setiap masa, parti yang disertainya itu berhadapan masalah dan menyimpang daripada perancangan dirinya.

“Saya menyedari bahawa politik di Malaysia pada akhirnya, tidak akan memberi perhatian kepada kepentingan di Borneo. Sebagai ahli politik, kamu harus memilih parti yang boleh mengembangkan agenda kamu yakini.

“Ia satu perkara yang sukar untuk saya memilih mana-mana parti kerana agenda Borneo seakan-akan tidak benar-benar menjadi keutamaan. Apa sahaja yang orang ramai akan perkatakan, saya amat yakin untuk meninggalkan PKR adalah perkara yang perlu saya lakukan,” katanya.

Tambahnya, beliau perlu fokus terhadap apa yang telah dilakukannya sebelum ini iaitu menerusi Barisan Bersatu Borneo (UBF).

Pada 16 Disember lalu, Jeffrey mengumumkan pembentukan satu pergerakan dikenali UBF yang merupakan satu platform untuk membolehkannya memperjuangkan hak serta keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Jeffrey berkata, sebagai pemimpin kumpulan pendesak tersebut, beliau akan memastikan bahawa agenda Borneo dapat dilaksanakan dan menjadikan Sabah serta Sarawak sebagai setaraf dengan Kerajaan Pusat.

Katanya, biarpun beliau sudah tidak lagi aktif berpolitik suatu hari nanti, UBF akan kekal sebagai kumpulan pendesak daripada golongan bukan parti politik untuk membentuk model politik baru

Categories: politik
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: